SELANGOR

Optimis penstrukturan air selesai segera

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Negeri yakin isu penyusunan semula industri air Selangor akan diselesaikan dengan baik dalam tempoh terdekat.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, ia mampu direalisasikan dengan kemungkinan seorang lagi ahli parlimen Selangor bakal dilantik mengetuai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

“Dengan bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kini menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan mungkin ahli parlimen Selangor mengetuai KeTTHA, kami yakin isu itu akan menjadi sejarah tidak lama lagi.

“Namun, ingin saya tekankan tiada masalah kekurangan air di Selangor, sebaliknya kami mempunyai lebihan bekalan setiap hari,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memberi jaminan isu penstrukturan air Selangor bakal dimuktamadkan, pada Julai.

Beliau optimis pertikaian isu berkenaan mampu diselesaikan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui kepimpinan di Putrajaya.

 


Pengarang :