SUKANKINI

Osorio dedah rahsia kemenangan Mexico, bermain untuk menang

MOSCOW 18 JUN: Jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio mendedahkan kejayaan anak buahnya menewaskan juara bertahan, Jerman 1-0 dalam aksi sulung Piala Dunia adalah hasil daripada perancangan yang dilakukan selama enam bulan.

Selain itu, dia turut memberitahu pemainnya agar menerapkan mentaliti bermain untuk menang berbanding takut untuk kalah.

“Kami mula membuat perancangan sejak enam bulan lalu, kami dapat menukar beberapa bahagian disebabkan kecederaan tetapi secara asasnya adalah kami menggunakan pemain yang pantas di bahagian sayap.

“Kami memutuskan untuk memberi kepercayaan itu kepada Hirving Lozano (penjaring gol kemenangan) kerana dia adalah pemain yang pantas. Kami tampil dengan corak serangan pantas dan mempunyai beberapa peluang bagi membuka tirai jaringan lebih awal sebenarnya,” kata Osorio.

Pengendali dari Colombia itu memuji kesungguhan ditunjukkan pemainnya dan turut memberitahu kepada media beliau sanggup bertanggungjawab di atas semua kritikan dilemparkan.

Osorio berkata beliau cuba untuk melindungi pemainnya daripada kritikan bagi membolehkan mereka fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.

“Kata-kata semangat digunakan adalah bermain untuk menang dan tidak takut untuk kalah. Saya cuba untuk meletakkan semua tekanan di atas bahu saya bagi membolehkan pemain benar-benar fokus terhadap perlawanan.

“Mereka bersaing dengan baik dan mereka bertahan seperti menyelamatkan hidup mereka. Jika kami menang, kredit perlu diberikan kepada pemain dan jika kalah saya bertanggungjawab sepenuhnya…itulah dunia bola sepak,” katanya.

SUMBER: AFP


Pengarang :