SASTERA

PAGAR BUKAN PENJARA

Oleh Azrin Fauzi

TELINGA saya dihempas tung tang tung tang sejurus selepas turun dari stesen elarti Hang Tuah. Ia bukanlah bingit yang mengejutkan di sebuah kota yang rencam seperti Kuala Lumpur. Tambahan lagi, masa kini ialah waktu yang begitu sukar sekali untuk kita bezakan antara urbanisme dengan kapitalisme; tiada pagar atau tembok yang menyempadani kedua-duanya. Dan iklan pada pagar zink tapak pembinaan yang menggantikan tembok bekas penjara itu tidak segan-segan menjanjikan impian yang tinggi-tinggi. Lebih tinggi daripada tembok Penjara Pudu!

 Sinema: Kapitalisme hanya tinggalkan pintu gerbang penjara buat kita. Dan pintu gerbang putih itu hanya tinggal pintu: mahu masuk atau keluar ke mana? Saya teringat akan mural indah di luar tembok penjara itu sebelum dirobohkan dahulu. Sekumpulan buruh imigran yang sedang mengusung tilam berjalan berlatarbelakangkan mural indah di sepanjang tembok penjara itu dalam filem I Don’t Want to Sleep Alone (2006) bikinan Tsai Ming-liang. Tilam itulah, di babak seterusnya, digunakan oleh Rawang (Norman Atun) dan teman-teman imigrannya untuk membawa tubuh longlai Hsiao-Kang (Lee Kang-sheng), yang baru sahaja dipukul, seterusnya menumbuhkan bibit-bibit homoerotik antara lelaki Bangla dengan lelaki Cina itu. Di sini, tilam tidak lagi terhampar tetapi diangkat sebagai simbol kerana memiliki sifat tanda arbitrari. Tilam berdiri sebagai penanda (signifier) yang tiada hubungan secara langsung dengan petanda (signified) iaitu karakteristik buruh imigran (melainkan tilam hanya bertindak sebagai tempat sekumpulan buruh imigran itu mengusung Hsiao-Kang). Tetapi kerana syot “usung tilam” itu berlangsung di latar luar penjara, tilam mempersembahkan signifikasinya melalui hubungan yang telah wujud secara konvensional, merujuk kepada perkara yang sedia wujud dalam kesedaran kolektif masyarakat. Sifat tilam (yang pekat baur homoerotika pada babak-babak selanjutnya dalam filem ini) secara konvensional (atau bukan-konvensional dek ghairah genius Ming-liang?) telah wujud sebagai suatu pelakuan (habit) yang seterusnya dikaitkan dengan frasa “usung tilam” yang berdegar-degar lewat 1990-an; cubaan si penguasa untuk mengaburkan ruang peribadi dengan ruang awam. Tetapi seperti mural indah yang menangkap mata kita pada tembok: apa yang di luar, di luar; apa yang di dalam, di dalam.

Seni bina: Dalam “Of Other Spaces: Utopias and Heterotopias”, Michel Foucault ada menyatakan penjara sebagai ruang “heterotopia sisihan” (heterotopia of deviation) iaitu individu yang berkelakuan “di luar norma” ditempatkan. Hospital sakit jiwa dan kubur juga termasuk dalam ruang ini. Penghuni ruang ini dianggap “ancaman” kepada masyarakat. Sebab itulah didirikan pagar atau tembok. Atas dasar ‘ketidaksenangan’ ini, malah didirikan juga pagar dan tembok di ruang-ruang awam. Hal ini tidak mungkin berlaku jika wujud “mata di jalanan” (“eyes on the street”) seperti yang dianjurkan oleh Jane Jacobs dalam The Death and Life of Great American Cities: “Seharusnya ada mata-mata ke jalanan, mata-mata milik mereka, siapa-siapa yang kita katakan sebagai empunya jalanan.” Di ruang awam, barangkali tidak perlulah (berhabis ringgit) dilambakkan sisi tivi àla “Big Brother” sekaligus menjadikan kita – seperti apa yang Foucault sebutkan dalam Discipline and Punish – sebagai “objek informasi, bukannya subjek dalam komunikasi”. Kerana tidak tahu siapa yang melihat kita (kalaupun benar dilihat), ia juga menimbulkan ketidaksenangan. Berbalik kepada Jane Jacobs, cukuplah menghidupkan aktiviti di jalanan. Menjadi ruang bersenang-senang buat warga kotanya. Dalam erti kata lain, jalanan milik kita semua.

Susastera: Pagar juga menjadi batas akal “budak baru belajar” seperti dalam pantun yang tidak jemu-jemu dititipkan kepada kita sejak kecil. Pada perenggan pertama cerpen “Pagar Bukan Penjara” tulisan Hamzah Hussin pula, awal-awal lagi disebutkan: “Kalau kau melawat atau melintasi rumah orang kaya lagi berbangsa itu, pemandangan kau pertama sekali akan ditarik oleh sebuah pagar zink merah yang tinggi melepasi kepala.” Pagar menjadi simbol status seorang materialis (atau seperti yang Avianti Armand kata dalam Arsitektur Yang Lain: “Mungkin memang ada fungsi simbolis selain fungsi praktis yang dihadirkan oleh pagar. Menegaskan hierarki…”). Dan pagar itu jugalah yang memenjara wanita. Walaupun sesak bernafas dalam pelukan patriarki, Rahmah fikir dia dapat hidup bahagia dengan Ahmad, drebar bapanya, setelah mereka terlanjur lantas dikahwinkan (sebenarnya bukanlah terlanjur tetapi sengaja dilakukannya sebagai tindakan rebel terhadap sistem masyarakat patriarki yang membelenggu). Tetapi dia silap. Kerana pagar zink itu telah pun tegak berdiri teguh sedari perenggan pertama cerpen ini lagi: “Kau menduga, dugaan kau memang tepat, tuan rumah itu adalah seorang yang berfaham dan hidup secara kolot. Dia masih tetap dan akan mempertahankan fahamannya hingga akhir hayatnya bahawa kaum ibu tidak berhak dan tidak pantas sama sekali diberi hak kebebasan, dan tempat sejati kaum ibu mengikut pendapatnya ialah di dalam kawasan rumah tangga dan berdosalah kaum-kaum ibu yang memandang wajah lelaki.”

Barangkali benar kita sudahpun berada di dalam penjara ________ (isi dengan mana-mana mekanisme atau kerangka atau entiti yang anda percaya). Tetapi boleh jadi penjara yang kita diami ini tiada pagar atau temb– tung tang tung tang! Sekali lagi saya lintasi pintu gerbang putih itu – atau sisa Penjara Pudu. Atau… ia lebih kepada peringatan akan apa yang disebut sebagai “ke-KU-A-SA-an”?


Pengarang :