SELANGOR

Park Here sumbang lebih RM17,000 santuni asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JUN: Park Here Sdn Bhd (Park Here) menyumbangkan RM17,810 kepada golongan asnaf Muallaf dan warga emas pada program Rewang Bubur Lambuk dan Iftar Ramadan Kasihku 2018 Park Here bersama warga Baitus Salam dan Bait Al-Mawaddah.

Majlis berbuka dan sumbangan berkenaan diadakan di Pusat Perlindungan Muallaf Baitus Salam, di sini, semalam.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Park Here, Roziah Ahmad berkata, bagi 2017, Park Here berjaya mengeluarkan zakat perniagaan sejumlah RM60,000 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Katanya ia sekali gus melayakkan pihaknya mengagihkan dua per lima daripada jumlah itu untuk diagihkan kepada penerima asnaf yang layak.

“Bertepatan dengan bulan Ramadan yang mulia ini, Park Here berbesar hati ingin menyerahkan wang agihan zakat kepada 71 penerima yang layak serta masjid juga surau.

“Bantuan zakat disalurkan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dan semoga sumbangan kepada masjid serta surau dapat merealisasikan impian pembinaan pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pengurusan, Mohd Ardisham Mohamad Shahir dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sabini.

Sementara itu, Mohd Ardisham berkata, majlis sumbangan berkenaan merupakan program julung kali dilaksanakan Park Here dan ia mungkin akan menjadi sebagai kalendar tahunan setiap kali menjelang Ramadan pada tahun akan datang.

“Terima kasih kepada pihak LZS dan Pengetua Pusat Perlindungan Muallaf Baitus Salam, Mohd Anwarulhaq Sulaiman serta Pengetua Rumah Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Siti Norkhayati Rabani atas sokongan, nasihat juga kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung,” katanya.

Terdahulu, 41 penghuni warga emas Bait Al-Mawaddah dan 30 penghuni Pusat Perlindungan Muallaf Baitus Salam mendapat sumbangan tunai sejumlah RM7,810 dengan masing-masing menerima RM110 setiap seorang.

Manakala, sumbangan RM10,000 turut diserahkan kepada Masjid Al-Islahiah dan Surau Al-Muqorrobin dengan masing-masing menerima RM5,000.

Park Here merupakan anak syarikat milik penuh PKNS Real Estate (PREC) yang ditubuhkan pada 2 Julai 2013 dan mula beroperasi secara penuh September 2015.

Syarikat itu diwujudkan bertujuan sebagai sebuah syarikat pengendali tempat letak kereta atau operator parkir.

Setakat ini, Park Here sudah beroperasi enam buah tempat letak kereta dan lima darinya merupakan bangunan yang dimiliki PREC.

=EZY=


Pengarang :