NASIONAL

Parlimen bersidang 20 hari mulai 16 Julai

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 JUN: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke-14 dijadual akan bermula, pada 16 Julai ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, persidangan Parlimen itu akan berlangsung selama 20 hari.

Beliau akan mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V bagi mendapat perkenan untuk mengadakan sidang berkenaan.

“Pada 16 Julai nanti, kita akan melantik Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Dewan Negara diikuti majlis angkat sumpah pada hari sama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, semalam.

Beliau berkata, YDPA juga akan merasmikan sidang Dewan Rakyat dan menyampaikan titah perasmian, pada 17 Julai ini.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membawa usul memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Anti-Berita Tidak Benar serta pindaan terhadap akta lain untuk dibentangkan, pada sidang Parlimen berkenaan.

“Ada beberapa pindaan kepada undang-undang lain yang akan kita umumkan pada sidang itu,” katanya.


Pengarang :