NASIONAL

PATRIOT cadang dasar kakitangan elak hadiri program politik menteri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) mencadangkan kepada Kerajaan supaya kakitangan kementerian tidak perlu menemani menteri atau timbalan menteri menghadiri program politik dijadikan sebagai satu dasar.

Presidennya, Briged Jeneral (B) Dato’ Mohamed Arshad Raji berkata, dasar sedemikian mampu menghalang berlakunya penyalahgunaan kuasa serta menjimatkan kakitangan kementerian daripada melakukan tugas diluar tanggungjawab.

“Ketua-ketua jabatan juga harus mengeluarkan arahan khusus kepada kakitangan dengan menentukan sama ada tugas itu menjadi tugas politik atau tidak.

“Kami lihat menteri terdahulu mengarahkan kakitangan bawahan untuk menghadiri acara politik menteri semata-mata untuk meramaikan kehadiran,” katanya dalam kenyataan.

Pihaknya turut memuji kenyataan Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub yang meminta kakitangan kementeriannya supaya tidak turut sama menemaninya dalam program politik.

Menurutnya, kenyataan itu menunjukkan Salahuddin seorang ahli politik sejati yang tidak memanfaatkan kedudukan sebagai menteri serta memahami peranan.

Pada masa sama, PATRIOT juga memuji tindakan kerajaan yang mahu menyiasat dengan serius gaji dan elaun lantikan politik dalam anak syarikat kerajaan (GLC).

“Tidak masuk akal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC mendapat gaji RM100,000 sebulan dan menyamakannya dengan syarikat swasta.

“Perlu ada asas munasabah kepada jumlah elaun atau gaji yang sepatutnya dibayar kepada CEO, Pengerusi atau Ahli Lembaga GLC,” katanya.


Pengarang :