SELANGOR

Paya Jaras fokus laksana tiga projek utama

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 JUN: Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman fokus melaksanakan tiga projek utama dalam tempoh dua tahun ini.

Katanya, antara projek tumpuan beliau adalah pembangunan Rumah Selangorku, di Paya Jaras.

“Fokus saya untuk dua tahun akan datang adalah mendirikan Rumah Selangorku yang diumumkan YAB Dato’ Menteri Besar, baru-baru ini dan kebajikan dalam bentuk pendidikan iaitu menyelesaikan masalah sekolah agama.

“Ketiga, projek pasar bertingkat yang sudah mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam,” katanya pada Program Ihya Ramadan ZYQ 2018 bersama anak yatim di Rumah Kasih Harmoni, di sini, malam tadi.

Selain itu, beliau turut meneruskan usaha memastikan lebih ramai golongan yang layak terbabit dalam skim bantuan disediakan Kerajaan Negeri.

Pada penggal lalu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras meluluskan 44,791 permohonan pelbagai bantuan untuk golongan memerlukan.

Bantuan terbabit meliputi Tabung Warisan Anak Selangor (16,998 ), Skim Peduli Sihat (5,872), Insentif Perkahwinan Belia (722), Jom Shopping (4,752), Skim Tunas (887), Pusat Wanita Berdaya (270), Skim Mesra Usia Emas (3,084), Back To School (4,388), Hijrah (948) dan Kasih Ibu Smart Selangor (550).

Bantuan terbabit termasuk 1,769 menerusi sistem ADN, 4,214 kepada penama (waris atau penjaga) Inisiatif Peduli Rakyat dan 337 bantuan ibu tunggal.


Pengarang :