ALAM SEKITAR & CUACAGLOBAL

PBB: Kurang 10% plastik dikitar semula, 5 trilion diguna setiap tahun

OSLO, Norway 6 JUN: Kurang 10 peratus daripada semua plastik yang dihasilkan telah dikitar semula, manakala kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mencukai atau mengharamkan penggunaan beg plastik dan bungkusan makanan bagi mengekang pencemaran, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya sempena Hari Alam Sekitar PBB semalam.

Laporan itu dianggap paling komprehensif mengenai langkah kerajaan mengekang penggunaan beg plastik. Ia menyatakan bahawa sehingga lima trilion beg plastik digunakan di seluruh dunia pada setiap tahun dan jika dibentangkan, bahan itu meliputi kawasan dua kali ganda lebih luas daripada negara Perancis.

“Pencemaran plastik sampai ke setiap pelosok Bumi ini,” kata ketua Alam Sekitar PBB, Erik Solheim dalam laporan tersebut yang dikumpulkan dengan bantuan kerajaan India dan dilancarkan bersama slogan:“Jangan gunakan jika ia tidak boleh dikitar semula.”

“Hanya 9 peratus daripada sembilan bilion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia telah dikitar semula. Sebahagian besarnya memenuhi tempat pembuangan sampah atau alam sekitar,” demikian menurut laporan tersebut.

China merupakan sumber terbesar sampah pembungkusan plastik, mengatasi Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Namun, terdapat tanda-tanda bahawa tindakan diambil bagi mengekang pencemaran plastik yang memudaratkan hidupan di laut, mencemarkan tanah dan mengeluarkan bahan kimia beracun apabila dibakar.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :