NASIONAL

Peluang cipta logo Hari Kebangsaan

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 14 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengalu-alukan orang ramai menyumbang idea kreatif untuk ciptaan logo sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Dalam kenyataannya, KKMM memaklumkan, orang awam juga digalakkan mengemukakan cadangan dan idea bagi memeriahkan sambutan hari berkenaan.

“Logo ciptaan yang terpilih akan digunakan sebagai logo rasmi bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 bertema ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Orang ramai boleh menghantar logo ciptaan menerusi laman Facebook Merdeka 360 atau laman sesawang malaysiamerdeka.com ,” katanya.

Katanya, penyertaan orang ramai dalam ciptaan logo dan cadangan sambutan diharap dapat menyemarakkan semangat patrotisme di kalangan masyarakat berbilang bangsa bagi menyambut hari berkenaan.

“Setiap penyertaan perlu dikemukakan maklumat pribadi seperti nama, nombor telefon, emel di kapsyen beserta rasional logo itu,” katanya.

Tarikh tutup adalah sebelum atau pada 7 Julai ini.


Pengarang :