Seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRN Sabah di 55 pusat mengundi.
NASIONAL

Pemuda AMANAH sokong had layak mengundi 18 tahun

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 JUN: Pemuda AMANAH menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menurunkan hak umur layak mengundi kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun ketika ini.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer merangkap Ketua Pemuda, Mohd Sany Hamzah berkata, cadangan itu sangat ideal untuk dipraktik berdasarkan perubahan kematangan berfikir golongan muda.

“Cadangan itu dilihat seiring peredaran zaman yang menuntut kepada perubahan dan pembaharuan semasa.

“Rakyat khususnya golongan muda perlu menceburkan diri untuk mencorakkan masa depan negara secara tidak langsung apabila mereka mempunyai hak memilih kepimpinan yang ingin diberi mandat mentadbir negara,” katanya dalam kenyataan.

Tun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) sebelum ini menyifatkan cadangan itu timbul selepas melihat kesedaran politik kuat ditunjukkan pengundi muda, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bulan lalu.

Mohd Sany berkata, sekarang adalah peluang terbaik untuk melaksanakan perkara itu selepas rakyat memberikan mandat kepada PAKATAN.

Katanya, mengundi pada umur 18 tahun juga bukanlah perkara asing, sebaliknya dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan turut dipraktikkan negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia serta Filipina.

“Malaysia sebagai nama besar di Asia Tenggara sewajarnya mengikut pembaharuan dilakukan negara jiran dan usaha mempertingkatkan kualiti demokrasi.

“Kami yakin, cadangan ini turut disokong dan didokong penuh parti lain di dalam PAKATAN dan badan bukan kerajaan yang sekian lama memperjuangkannya dalam usaha menyuburkan demokrasi di negara ini,” katanya.


Pengarang :