SELANGOR

Pencemaran bau: Kerajaan Negeri tunggu laporan JAS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerajaan Negeri menunggu laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung pencemaran bau bahan kimia di Kuala Langat, semalam.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kilang atau pihak tidak bertanggungjawab melakukan perkara itu.

“Saya sudah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan ketika ini menunggu laporan daripada JAS.

“Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara ini termasuk menyita kilang atau mendakwa mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Loy Sian menasihati orang ramai khususnya kawasan berhampiran supaya berwaspada akan pencemaran itu.

Katanya, orang ramai turut disarankan berkerjasama dan melaporkan kepada JAS sekiranya mempunyai maklumat berkenaan perkara itu.

Semalam, penduduk di sekitar kawasan perindustrian di Jalan Kling Batu 15, di sini cemas apabila terhidu bau bahan kimia di kawasan itu.

Pasukan bomba bergegas ke kawasan berkenaan dan mendapati cecair ammonia dilepaskan ke dalam parit berhampiran sebuah kilang.

Hasil siasatan, terdapat sebuah kilang dipercayai mengumpul minyak hitam melepaskan cecair berkenaan yang digunakan untuk mencuci peralatan.


Pengarang :