NASIONAL

Pengerusi SPR baharu perlu berintegriti, bebas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 JUN: Pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu perlu berintegriti, kesaksamaan dan bebas bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada institusi berkenaan.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berkata, kriteria digariskan penting dalam usaha menjayakan reformasi pilihan raya yang bebas dan adil, pada masa depan.

“Berdasarkan kriteria ini dan mempunyai pengetahuan, pengalaman serta kepakaran terbukti dalam undang-undang juga sistem pilihan raya.

“Dia juga perlu mempunyai rekod prestasi terbukti dalam integriti individu, kesaksamaan dan bebas daripada politik kerajaan serta parti.

“BERSIH 2.0 yakin kriteria ini penting bagi memastikan Pengerusi SPR baharu bebas, mempunyai keyakinan orang ramai dan kompeten untuk memulakan reformasi pilihan raya,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ekoran peletakan jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Jawatankuasa itu berkata, Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan menggariskan keyakinan orang ramai sebagai syarat bagi pelantikan itu dan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak harus mengulangi kesilapan dilakukan Barisan Nasional.

“Kriteria sama harus digunakan dalam memilih Pesuruhjaya SPR apabila terdapat kekosongan dan keperluan bagi pelantikan.

“Ia menjadi salah satu langkah penting bagi PAKATAN melaksanakan janji pilihan raya seperti dinyatakan dalam manifesto ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14),” katanya.

BERSIH 2.0 menjelaskan pelantikan Mohd Hashim menimbulkan pertikaian kerana sebelumnya berkhidmat sebagai pembantu peribadi kepada Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa selama sembilan tahun dari 1990 hingga 1999 dan dilantik Timbalan Pengerusi SPR, pada 2014 seterusnya pengerusi, pada Januari 2016.

“Jelas sekali pelantikan sedemikian sangat kontradik dengan kriteria digariskan,” katanya.


Pengarang :