SELANGOR

Penghuni Rumah Anak Yatim Al Khairiyah ceria dirai kerabat diraja

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Puteri Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli meluangkan masa seharian bersama penghuni di Rumah Anak Yatim Al Khairiyah, Klang, baru-baru ini.

Selangor Youth Community (SAY) dalam kenyataannya berkata, program menyantuni anak yatim itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Segi Fresh, Jakel dan sukarelawan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Dalam menyambut Aidilfitri, SAY mengambil peluang turun padang dengan niat untuk menggembirakan anak-anak ini disamping mengambil maklum tentang keperluan dan nasib mereka.

“Antara aktiviti menarik yang dijalankan, mereka diajar cara-cara membuat kuih raya bersama Tengku Zatashah dan Chef selebriti jemputan, Anis Nabilah.

“Selain itu, mereka turut menerima sumbangan duit dan baju raya yang disampaikan sendiri oleh Tengku Zatashah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, keprihatinan Tengku Amir dizahirkan dengan menyertai aktiviti permainan ping pong, bola baling dan badminton bersama anak-anak yatim tersebut walaupaun beliau tiba agak lewat pada sebelah petangnya.

Pada masa sama, sukarelawan UiTM yang terlibat juga tidak lepaskan peluang menjalankan gotong royong membaiki, menghias dan mencantikkan rumah jagaan serta berbuka puasa bersama dengan harapan dapat memberikan keceriaan kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam menyambut Aidilfitri.

Antara sumbangan lain termasuklah pemberian bahan-bahan penyediaan makanan yang segar ditaja khas oleh Segi Fresh.

=EZY=


Pengarang :