GLOBAL

Perdana Menteri Jordan letak jawatan

AMMAN 5 JUN: Perdana Menteri Jordan, Hani Mulki meletak jawatan semalam selepas beliau dipanggil menghadap Raja Abdullah II berhubung bantahan rakyat yang semakin meningkat terhadap langkah penjimatan oleh pentadbirannya, kata sumber kerajaan.

“Hani Mulki menyerahkan peletakan jawatannya kepada Raja Abdullah II tengah hari ini (semalam) semasa satu pertemuan di Istana Husseiniyeh dan baginda menerima peletakan jawatan beliau,” kata sumber itu kepada agensi berita AFP.

Raja Abdullah II meminta Menteri Pendidikan, Omar Al-Razzaz untuk membentuk kerajaan baharu, tambah sumber itu.

Tunjuk perasaan menggegarkan ibu kota Jordan, Amman dan beberapa bandar lain sejak Rabu lalu selepas kerajaan meluluskan draf undang-undang cukai pendapatan baharu dan mengumumkan kenaikan harga baharu berdasarkan saranan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Penunjuk perasaan itu mendesak Mulki berundur dan berikrar tidak akan berundur. Mereka mendapat sokongan daripada kesatuan-kesatuan sekerja dan majoriti wakil rakyat yang membantah cukai baharu itu.

Pertemuan di Istana Husseiniyeh itu berlaku beberapa jam selepas kira-kira 5,000 orang berhimpun di luar pejabat Mulki di Amman pada hari kelima tunjuk perasaan diadakan di Jordan.

Rakyat berang terhadap langkah penjimatan kerajaan yang disokong IMF termasuk menaikkan cukai pendapatan dan barangan asas di samping memansuhkan subsidi roti untuk golongan miskin.

Langkah penjimatan terbaharu itu dibuat selepas Amman memuktamadkan pinjaman berjumlah AS$723 juta (RM2.87 bilion) selama tiga tahun daripada IMF pada 2016.

SUMBER: AFP


Pengarang :