SELANGOR

Perhebat agensi penuhi harapan anak muda

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan Negeri akan memperhebatkan peranan agensi dan pertubuhan berkaitan anak muda, di Selangor dalam usaha memberdayakan golongan berkenaan.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, ia bertepatan dengan iltizam digariskan bagi memenuhi harapan perubahan diinginkan mereka.

“Penggerak Belia Tempatan (PeBT) akan diperkuat dengan matlamat dan sasaran baharu untuk lebih trampil dan berwibawa.

“Skim bantuan anak muda akan diteruskan mengambil contoh Bantuan Masuk Universiti, Hijrah Selangor dan Insentif Perkahwinan Belia.

“Ini bagi memastikan pembangunan ekonomi anak muda lebih seimbang dan berdaya saing,” katanya dalam Majlis Iftar Perdana Generasi Muda Selangor 2018, di sini, kelmarin.

Majlis julung kali itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 anak muda dari institut pengajian tinggi awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan yang berkaitan.

Himpunan dengan jumlah besar itu dicatat ekoran terhapusnya tembok kongkongan universiti selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun, Amirudin berkata, perubahan total harus mengambil masa dan perancangan tepat supaya masa depan anak muda tidak menjadi mangsa uji kaji pelaksanaan.

“Banyak lagi isu akan disentuh dan diperhalusi seperti keupayaan anak muda memiliki rumah, pembangunan kemahiran dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

Dalam majlis itu juga berlangsung sesi dialog Memenuhi Harapan Perubahan Anak Muda membariskan panelis Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan Naib Ketua AMK Pusat, Radzlan Jalaludin.


Pengarang :