SELANGOR

Pertandingan Kampung Tradisi Terbaik Selangor diteruskan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 JUN: Kerajaan Negeri akan meneruskan penganjuran pertandingan Kampung Tradisi Terbaik peringkat Selangor.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, ketetapan itu dibuat menerusi perancangan baru bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Beliau berkata, penganjurannya akan turut dipantau Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW).

“Pertandingan Kampung Tradisi Terbaik akan dijalankan dengan kerjasama KKLW di bawah program Anugerah Desa Perdana dengan mengambil beberapa faktor.

“Antaranya kemasyarakatan, kepimpinan dan pentadbiran, peranan belia, teknologi maklumat, kebersihan dan kesihatan,” katanya.

Difahamkan, pengajuran pertandingan itu sebelum ini dihentikan sementara waktu ketika berlangsungnya proses pilihan raya di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan mempercepatkan proses pelantikan Ketua Kampung Negeri.

Katanya, ia akan melibatkan beberapa kawasan perkampungan terpilih.

“Individu terpilih dan berkelayakan akan menduduki Kursus Pemantapan Ketua Kampung yang akan dijalankan selepas proses lantikan selesai.

“Pimpinan di peringkat desa perlu bersedia dengan tatacara kelola yang lebih berkesan bagi mencapai pelan pembangunan luar bandar,” katanya.


Pengarang :