BERITA UTAMANASIONAL

PM: Berhati memandu balik kampung, makan secara bersederhana

PUTRAJAYA 14 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada seluruh rakyat yang akan menyambutnya, esok.

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik Chedet Official di Facebook, hari ini, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat yang pulang ke kampung halaman supaya berhati-hati memandu.

“Hari ini hari terakhir berpuasa, esok hari raya Aidilfitri tetapi hari terakhir ini, saya masih bertimbun kerja dan terpaksa bekerja sampai petang dan tidak boleh rehat.

“Jadi, kepada semua yang sedang balik ke kampung, ingatlah keluarga menunggu dan jangan kecewakan mereka dengan terlibat dengan kemalangan di jalan raya

“Oleh itu, pandulah dengan cermat, biar lambat asal selamat, jangan terburu-buru,” katanya.

Dr Mahathir turut menasihatkan rakyat supaya tidak makan terlalu banyak pada hari raya dan makan secara bersederhana.

Menerusi video itu, Perdana Menteri turut berkongsi saat hari raya yang paling menggembirakannya iaitu apabila seluruh keluarga dapat berkumpul dan berhari raya bersama selepas selesai sembahyang raya.

Selain itu, beliau juga sempat berkongsi mengenai kuih, lagu dan warna baju raya kegemarannya.

“Kuih makmur tetapi kurang gula, dulu saya banyak gula, sekarang kurang gula.

“Lagu kegemaran Selamat Hari Raya dendangan Allahyarham Sudirman, warna baju ungu,” katanya.

Sebelum mengakhiri rakaman itu, Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan menjemput rakyat untuk hadir ke Rumah Terbuka Perdana Menteri, yang diadakan esok di Seri Perdana, Putrajaya.


Pengarang :