SELANGOR

Polis tahan dua suspek pukul penguatkuasa MPK

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 10 JUN: Kedua peniaga air di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping yang tular di media sosial ekoran pergaduhan dengan penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mazelan Paijan berkata, suspek berusia 41 dan 18 tahun itu ditahan selepas pegawai penguatkuasa MPK membuat laporan polis.

Katanya, pergaduhan tercetus selepas peniaga terbabit menghalang tugas penguatkuasa berkenaan menyita barangan niaga selepas gagal menunjukkan lesen perniagaan.

“Pada jam 9.40 malam, seorang pegawai Penguatkuasa MPK bersama pasukan menjalankan pemeriksaan di lokasi perniagaan Bazar Aidil Fitri Jalan Taiping.

“Penguatkuasa itu memperkenalkan diri kepada pemilik gerai minuman untuk menunjukkan lesen perniagaan namun saspek gagal mengemukakan lesen.

“Semasa pengadu bersama pasukan ingin menyita barang kes iaitu balang minuman, suspek menghalangnya dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua pihak seterusnya tercetus pergaduhan dalam video terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mazelan berkata, gerai suspek sebelum ini pernah diambil tindakan sitaan sebelum ini pada 3 Jun lalu.

“Semua peniaga sudah di nasihatkan dan diberi amaran oleh MPK sebelum ini. Namun suspek masih menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Katanya, ekoran pergaduhan itu, seorang anggota penguatkuasa mendapat kecederaan di bahagian muka.

 


Pengarang :