Selangorkini
Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

PPAS mesra OKU, lengkap bahan bacaan braille & buku audio

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Kemudahan mesra golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang serba lengkap di Perpustakaan Raja Tun Uda bagi memastikan hak dan penyertaan golongan itu seiring dengan pembangunan masyarakat lain.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, usaha itu bukan sekadar untuk golongan celik mata tetapi juga untuk golongan celik hati.

“Kita menyediakan koleksi Braille diletakkan di bilik khas Tingkat 1 dengan pelbagai bahan meliputi buku fiksyen dan bukan fiksyen yang di antaranya ialah koleksi peperiksaan STPM, al-Quran dan novel.

“Kita juga ada komputer yang boleh print Braille serta buku audio yang boleh digunakan secara percuma.

“Bagaimanpun kita sentiasa berusaha penambahbaikan kemudahan dan koleksi sedia ada,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tilawah Al-Quran Braille 2018 Peringkat Kebangsaan di PPAS Shah Alam, di sini hari ini.

Pada masa sama, Pengarah Urusan KL Braille Resources, Dato’ Mah Hassan Omar berkata, PPAS merupakan antara jalinan kerjasama terawal bersama pihaknya dalam menyediakan buku dan peralatan Braills untuk diakses secara percuma oleh golongan itu.

“Kemudahan disini cukup lengkap untuk dimanfaatkan namun sambutannya masih berada di bawah tahap yang kita harapkan.

“Oleh itu kami berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan pengangkutan awam supaya lebih ramai golongan ini dapat datang ke PPAS,” katanya.

Mastura berkata, sebelum ini pihaknya pernah membuat permohonan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) namun tiada maklum balas.

Bagaimanapun, katanya dengan penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang baru PPAS berharap permohonannya untuk bas masuk ke kawasan itu diluluskan.


Pengarang :