NASIONAL

Pupuk semangat berjimat sempena Aidilfitri 1439H

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Bersempena ketibaan Aidilfitiri 1439H, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat supaya bersama Kerajaan bagi mengamalkan penjimatan sebagai tanda pengorbanan demi mengembalikan Malaysia ke landasan yang lebih baik.

Dalam Perutusan Aldilfitri 1439H yang disiarkan menerusi RTM beliau berkata, kerosakan yang berlaku kepada negara adalah lebih serius dan luar jangkaan awal selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambilalih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) disamping hutang negara telah meningkat tinggi.

“Kerajaan PAKATAN bagaimanapun berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul.

“Tetapi untuk mencapai matlamat ini, langkah penjimatan perlu diambil dan wang yang tidak halal tiada lagi untuk diagihkan kepada rakyat bagi menawan hati mereka.

“Dengan ini, orang ramai perlu menerima keperluan berjimat bersama dengan Kerajaan.

“Percayalah, pengorbanan yang sedikit kita ambil sekarang akan menghasilkan kesejahteraan hidup kita di masa hadapan. Inilah khasiat daripada berkorban,” katanya.

Menurutnya, kedudukan negara yang selamat mampu menarik kehadiran lebih ramai pelabur dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Keadaan ini akan menyelesaikan masalah pengangguran yang menimpa rakyat termasuk mereka berkelulusan tinggi.

Beliau turut melahirkan kesyukuran di atas peralihan kuasa yang berlaku secara aman tanpa sebarang kekecohan seperti di negara lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Rakyat telah menunjukkan kuasa mereka dengan menolak pemerintahan yang mereka rasakan tidak adil dan menindas serta memilih Kerajaan PAKATAN,” katanya.

Dalam perutusan sama, Mahathir turut mengingatkan rakyat supaya bersyukur dengan keharmonian negara dan mengambil iktibar kecelaruan yang berlaku di beberapa negara lain khususnya di Timur Tengah.


Pengarang :