NASIONAL

Putrajaya tambah RM2.8 bilion teruskan projek TRX

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 JUN : Projek TRX yang dibangunkan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tetap diteruskan dengan penambahan dana tidak melebihi RM2.8 bilion oleh Kerajaan Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia diteruskan walaupun lebih RM3 bilion dana Kerajaan Persekutuan untuk TRX City Sdn Bhd (TRXC) diseleweng 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, keputusan itu akan menangani kebimbangan pelabur tempatan dan antarabangsa sedia ada, di TRX yang sudah melabur berbilion ringgit.

“Dengan mengambil kita semua faktor ini, kabinet bersetuju menyiapkan projek TRX dengan memperuntukan dana tidak melebihi RM2.8 bilion kepada syarikat itu.

“Suntikan tambahan ini akan meningkatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada TRXC ke RM6.5 bilion, namun penyiapan projek ini membolehkan ia mencapai nilai sepenuhnya sekurang-kurangnya RM7.6 bilion,” katanya pada sidang media, petang ini.

TRXC adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Najib, di bawah kawalan 1MDB.

Namun Guan Eng berkata, atas nasihat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, projek itu dipindah milik kepada Kemterian Kewangan, pada 31 Mac 2017.

“Pemindahan itu dibuat kerana TRXC menghadapi masalah menjalankan urus niaga hartanah dan mengalami kesukaran mendapatkan pembiayaan bank ekoran hubung kait dengan 1MDB,” katanya.


Pengarang :