BERITA UTAMA SUKANKINI

Raja Muda Selangor berkenan terajui FAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani menyatakan baginda bertitah, FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan yang menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan arena bola sepak Selangor.

“Baginda menyeru rakyat untuk bersama-sama menyokong penuh pembaharuan yang akan dilakukan oleh baginda apabila menerajui FAS nanti.

“Baginda yakin pasukan kesayangan rakyat Selangor ini akan dapat mencapai kegemilangan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Titah baginda, sekarang bukanlah masa untuk mengadu domba dan mencari kesalahan lampau.

“Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutamanya di peringkat akar umbi dan fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak Selangor terus mara ke hadapan,” katanya.

Minggu lalu, Datuk Seri Subahan Kamal, 53, mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden FAS susulan beberapa komitmen selaku presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

=EZY=


Pengarang :