SUKANKINI

Rajagopal: Tugas sukar tapi PKNS FC sedia bangkit

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Berdepan misi sukar namun Datuk K Rajagopal masih menaruh harapan PKNS FC akan bangkit mencabar dalam perlawanan menentang Selangor pada separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.

Ketua jurulatih The Red Ants itu berkata, tiada yang mustahil dalam bola sepak dan ia mampu diperoleh dengan kesungguhan pemain bagi mengubah keadaan pada perlawanan di Stadium Shah Alam nanti.

“Dalam bola sepak, ramai yang kata keajaiban boleh berlaku tetapi Selangor pasukan bagus dengan beberapa pemain memiliki skil individu yang baik.

“Namun kita hanya perlu bersikap positif bagi mengembalikan maruah dan berusaha memenangi perlawanan walaupun ia bukan mudah selepas ketinggalan 0 – 4,” katanya kepada media selepas perlawanan sepruh akhir pertama Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan PKNS FC 4 – 0 melalui hatrik Rufino Segovia Del Burgo dan jaringan sendiri Azmizi Azmi.

Mengulas lanjut, bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, PKNS FC memulakan permainan agak baik pada 15 ke 20 minit pertama tetapi berubah selepas itu dengan barisan pertahanan agak gementar dan memberi ruang kepada penyerang lawan terutama Rufino Segovia.

Akibatnya PKNS FC menerima padah apabila dibolosi dua gol mudah pada separuh masa pertama diikuti dua gol lagi pada babak kedua.

“Dalam separuh masa kedua kita cuba bangkit untuk dapatkan gol bagi mengurangkan defisit tetapi kita dibolosi lagi dan ia kesilapan pemain yang tidak seharusnya berlaku.

“Kalau kita lihat dua perlawanan dalam Liga Super sebelumnya kita bermain dengan baik dan berpeluang untuk mencabar tetapi tidak menjadi,” katanya menambah PKNS FC akan kembali fokus kepada perlawanan liga menentang Kedah di Alor Setar, Selasa ini.

=EZY=


Pengarang :