NASIONAL

Raya lebih bermakna dengan Malaysia Baharu – Mohamed Azmin

SHAH ALAM, 14 JUN: Malaysia baharu yang lahir daripada aspirasi dan sanubari rakyat sejak sebulan lalu bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana lebih harmoni malah turut menyaksikan rakyat berbilang kaum mula memperkukuhkan penyatuan dengan menolak sentimen membabitkan ras atau agama.

Justeru, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata sambutan Aidilfitri kali ini juga dilihat lebih bermakna.

“Malaysia yang dicintai kini menuju fasa pemulihan selepas lebih 60 tahun ditadbir oleh pemerintahan terdahulu. Sebagai individu bertanggungjawab mengemudi hal ehwal ekonomi negara, saya insaf untuk memastikan rakyat terus terbela,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri hari ini.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidilfitri esok.

Beliau berkata pelbagai usaha akan terus digembleng termasuk mencipta persekitaran ekonomi mesra pelabur, menjana peluang pekerjaan dan meningkat pelaburan asing tanpa mengorbankan prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban.

“Usaha ini bagaimanapun tidak akan berhasil tanpa berpaksikan kepada konsep keadilan sosial. Ia perlu disulami sifat-sifat mulia yakni amanah, siddiq, tabligh dan fatanah. Saya yakin, hanya sifat-sifat terpuji dan jiwa yang merdeka mampu mengangkat semula martabat sesebuah negara.

Memetik peribahasa Inggeris “Every man is the architect of his own fortune”, beliau juga mengatakan bahawa terbukti hanya kita sahaja mampu menentukan masa depan dengan hasil usaha dan jerih perih sendiri.

” Maka, tiada lagi alasan untuk kita berpeluk tubuh mengharapkan sebuah kejayaan tanpa perlu bekerja keras,” katanya.

Mohamed Azmin, yang merupakan Dato’ Menteri Besar Selangor , berkata keterujaannya menjalankan tanggungjawab di peringkat Persekutuan tidak melunturkan ingatan kepada negeri yang beliau kasihi.

“Saya mendoakan Selangor terus cemerlang, harmoni dan berdaya maju dengan terus memperkasakan prinsip peduli rakyat. Justeru, percayalah, Selangor sentiasa di hati dan sanubari saya.”

“Semoga lembaran Syawal kali ini akan mendekatkan kita dengan semangat perpaduan atas kesatuan iman. Moga ukhwah yang terbentuk terus tersimpul rapi atas jalinan persaudaraan sesama insan,” kata beliau di akhir perutusannya.

 


Pengarang :