SELANGOR

Ringgit susut berbanding dolar AS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan pengukuhan mata wang negara maju itu akibat meningkatnya sentimen optimis mengenai kadar faedah lebih tinggi di negara tersebut, kata peniaga.

Pada 9 pagi ini, ringgit disebut harga pada 4.0060/4.0090 berbanding dolar AS daripada paras 4.0040/0070 sewaktu ditutup, semalam.

Dolar AS disifatkan sebagai mata wang selamat, turut mencecah ke paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan malam tadi berikutan pulangan bon AS yang lebih tinggi.

Peniaga berkata, ketegangan dagangan antara AS dan China menyebabkan penggiat pasaran mengelak risiko, terutamanya bagi mata wang negara membangun, akan terus memberi tekanan ke atas sentimen pelabur pada hari ini.

Berbanding mata wang lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali yen Jepun yang meningkat kepada 3.6290/6327 berbanding 3.6354/6391 pada Rabu.

Ringgit turut susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9473/9504 daripada 2.9465/9491, rendah berbanding pound Britain kepada 5.2751/2807 daripada 5.2677/2720 dan merosot berbanding euro kepada 4.6357/6404 daripada 4.6298/6349.


Pengarang :