SELANGORSUKANKINI

RMS mampu kembalikan kegemilangan bola sepak Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 JUN: Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari menyambut baik hasrat Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan menerima tawaran untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Beliau berkata, perkhabaran yang dimaklumkan Setiausaha Sulit Kanan kepada DYMM Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani disifatkan sebagai satu keputusan yang tepat bagi mengembalikan kegemilangan bolasepak Selangor yang selama ini cukup disegani.

“Kerajaan Selangor bersedia membantu segala usaha baginda dalam perkara ini serta meyakini kemampuan baginda untuk membawa FAS serta pasukan bolasepak Selangor ke hadapan.

“Begitu juga tekad dan iltizam baginda untuk memfokuskan kepada pembangunan akar umbi bolasepak akan disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor sejajar dengan Pelan Perancangan Pembangunan Sukan Negeri.

“Sudah pastinya di masa hadapan lebih banyak idea pembangunan boleh diterjemahkan bagi merancakkan lagi program-program pembangunan bolasepak negeri,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, khabar gembira ini pastinya akan disambut penuh bersemangat penyokong dan era kepimpinan baginda dalam FAS kelak akan menerima sokongan tidak berbelah bagi rakyat Selangor sepertimana ditunjukkan sepanjang baginda menganjurkan program anak muda dan sukan selama ini.

“Saya mendoakan agar baginda diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menjalani tugas selaku Presiden FAS.

“Dengan izin Allah, baginda pasti dapat menggalas harapan rakyat Selangor khususnya peminat setia Pasukan Merah Kuning demi meletakkan pasukan kembali menjadi yang terkuat dan terbaik di tanahair ini,” katanya.

=EZY=


Pengarang :