BERITA UTAMASELANGOR

RMS rai anak yatim Hulu Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

RAWANG, 9 JUN: Pancar Bakti Sdn Bhd melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyalurkan sumbangan Aidilfitri RM50,000 kepada anak-anak yatim di Hulu Selangor.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa bagi menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri.

Seramai 544 anak-anak yatim daerah Hulu Selangor menerima sumbangan dengan setiap seorang RM100 bagi membantu persiapan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pancar Bakti Sdn Bhd, Dato’ Amrul Hisyam Alias menyampaikan terus sumbangan RM50,000 kepada Tengku Amir Shah untuk disalurkan kepada anak-anak yatim di daerah Hulu Selangor.

Amrul Hisyam berkata, sumbangan ini adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pancar Bakti untuk diagihkan kepada anak-anak yatim yang memerlukan bagi meraikan lebaran yang akan menjelang.

“Pancar Bakti optimis menyokong program YIDE demi kemaslahatan ummah dengan menitikberatkan kebajikan para penerima sumbangan.

“Saya secara peribadi sudi menyalurkan apa jua sumbangan demi membantu kehidupan mereka yang susah,” katanya.

Selain itu, sumbangan lain yang turut diterima adalah dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd (RM10,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM5,000).


Pengarang :