SELANGOR

Rumah Terbuka: 46 gerai makanan disedia termasuk 5 jenis nasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Orang ramai tidak perlu bimbang berikutan Kerajaan Selangor memperuntukkan juadah buat 55,000 pengunjung ke Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr yang dijangka bermula esok pagi.

Jawatankuasa Jamuannya, Mohd Elmi Syafiq Abdul Rahman berkata, pihaknya menyediakan 46 gerai yang turut menghidangkan lima jenis nasi termasuk, Nasi Kari Kambing, Nasi Ayam, Nasi Tomato, Nasi Minyak dan Nasi Lemak Daun Pisang.

“Orang ramai tidak sepatutnya melepaskan peluang kerana memang saban tahun juadah yang disediakan menarik, kali ini, kami wajibkan penggerai sediakan empat jenis air iaitu Teh Ais Madu, Lemon Mint, Air Mata Kucing dan juga Teh Bunga, kesemua jenis air ini memang mendapat sambutan.

“Selain itu ada juga Apam Balik Crispy Nestum, ayam golek, popia basah, kebab dan sebagainya,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis jamuan akan bermula pada jam 10 pagi dan dijangka tamat pada jam 3 petang hari yang sama.

Bagaimanapun Mohd Elmi menasihatkan orang ramai supaya menjaga tatasusila ketika menghadiri majlis berkenaan kerana ia turut menerima keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Sekiranya boleh, beratur baik-baik dan tidak perlu berebut kerana makanan memang cukup untuk semua yang hadir, dan janganlah membazir.

“Kami berharap supaya juadah yang disediakan esok buat penduduk Selangor disukai mereka,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :