SELANGOR

Rumah Terbuka: Khai Bahar, Erni Zakri & Jay Jay antara artis jemputan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Khai Bahar, Erni Zakri antara selebriti popular yang akan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini, esok.

Khai terkenal dengan lagu Bayang turut dikenali di negara Indonesia, Singapura, Brunei, Hong Kong, Taiwan dan Thailand.

Sementara Erni Zakri yang juga anak saudara kepada Ziana Zain cukup dikenali dengan kelantangan suaranya sehingga dinobatkan sebagai vokal pilihan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) yang lalu.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, selain itu rumah terbuka kali ini akan turut diserikan dengan persembahan Jay Jay dan beberapa artis veteran lain.

“Tourism Selangor bertanggungjawab menguruskan persembahan pentas kali ini dan bagi kami tanggungjawab besar ini akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Oleh itu kami berusaha menampilkan artis terkenal bagi menarik orang ramai ke rumah terbuka peringkat Selangor pada 2018, disebabkan itu jangan lepaskan peluang datang beramai-ramai pada hari esok,” katanya kepada SelangorKini.

=EZY=


Pengarang :