SELANGOR

Sambutan Aidilfitri MPSJ meriah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 29 JUN: Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) meriah dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung termasuk kakitangan meskipun sudah masuk di pertengahan Syawal.

Timbalan Yang Dipertuan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, aktiviti tahunan itu bertujuan merapatkan silaturrahim diantara warga kerjanya dengan pengurusan tertinggi, ahli majlis serta rakan sinergi.

“Bagi memeriahkan majlis kali ini, kita menyediakan 20 gerai juadah raya yang diuruskan setiap jabatan.

“Antara jamuan makan yang dihidangkan termasuk rendang, sate, kambing golek, nasi hujan panas beraneka lauk serta variasi pilihan kuih-muih dan air minuman bagi membangkitkan suasana Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018, di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Zulkurnain berkata, pihaknya turut mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Peniaga Contoh Bazar Ramadan MPSJ 2018 untuk kali ke 4.

“Seramai 15 peniaga bazar telah dipilih untuk dianugerahkan sebagai peniaga contoh berdasarkan penialaian pematuhan aspek perlesenan, menjaga kebersihan, keceriaan dan melaksanakan inisiatif hijau.

“Para pemenang menerima pemberian wang insentif sebanyak RM500 dan mereka diberi kelebihan memilik mana-mana petak berniaga di sebarang lokasi untuk Bazar Ramadan tahun depan,” katanya.

Selain itu, seramai 12 peniaga telah dikenakan tindakan Notis Tawaran Kompaun dan permit mereka ditarik serta disenari hitamkan kerana melanggar peraturan.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Hadir sama memeriahkan, YDP MPSJ, Noraini Roslan dan mantan YDP MPSJ pertama, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail.


Pengarang :