SUKANKINI

Selangor belasah PKNS FC 4 – 0 dalam separuh akhir pertama Piala FA

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Selangor membelasah PKNS FC 4 – 0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2018 di Stadium Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Kemenangan The Red Giants dicatat menerusi jaringan hatrik Rufino Segovia Del Burgo dan jaringan sendiri pertahanan PKNS FC, Azmizi Azmi.

Rufino Segovia menjaringkan gol pertama pada minit ke-39 melalui satu sepakan kencang melepasi Taufik Ar Rasyid Johar.

Penyerang import dari Sepanyol itu menghukum pertahanan The Red Ants seminit selepas itu untuk gol keduanya dengan rembatan dari sebelah kiri pintu gol.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Datuk K Rajagopal berusaha bangkit dengan memasukkan Safee Sali menggantikan Jafri Firdaus Chew dan beberapa serangan dilancar ke kubu Selangor.

Bagaimanapun Selangor terus mengukuhkan kedudukan apabila Rufino Segovia (m56) mencapai hatrik dengan menyempurnakan hantaran D Kugan di depan gol.

Juara lima kali itu mendapat gol keempat apabila Azmizi Azmi (m64) tertampan masuk bola percubaan Rugino Segovia.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Suhaimi Mat Hassan.

Dengan kelebihan empat gol, skuad bimbingan Nazliazmi Mohd Nasir membawa bekalan selesa berdepan PKNS FC dalam separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, 30 Jun ini.

=EZY=


Pengarang :