SELANGOR

Selangor hargai usaha FMM promosi pelaburan negeri

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Negeri menghargai hubungan rapat bersama Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), termasuk usaha badan itu mempromosi Selangor sebagai destinasi pelaburan terunggul.

Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, FMM membantu Selangor menangani isu berkaitan pelaburan dalam tempoh lebih tiga tahun lalu.

“Agensi promosi pelaburan Selangor, Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor juga sentiasa bersedia membantu FMM berkenaan dasar dan peraturan di peringkat negeri juga persekutuan.

“Kerjasama ini mendorong Selangor untuk kekal sebagai destinasi pelaburan utama negara dan menerima jolokan ‘The Golden State of Malaysia’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis FMM Selangor Nite 2018, di Pusat Konvesnyen Setia City, Setia Alam, di sini, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menyasar pelaburan keseluruhan RM12 bilion pada 2018, terutama daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Daripada jumlah itu, pelaburan RM7 bilion dijangka daripada sektor perkilangan merangkumi pelaburan langsung asing dan domestik, manakala RM5 bilion daripada sektor perkhidmatan.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, sekali gus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek (RM533,596,629), diikuti Singapura sebanyak 18 projek (RM439,958,335) dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Belanda pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan Jerman tiga projek (RM147,173,824).

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, perkilangan (RM833,100,549) dan kimia (RM803,898,755).


Pengarang :