BERITA UTAMASELANGOR

Selangor perintis, jalin kerjasama Jepun atasi bencana

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 29 JUN: Selangor menjadi negeri perintis di Malaysia menjalinkan kerjasama bersama Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Japan’s Tohoku University bagi menganjurkan program pengurangan risiko bencana dalam kalangan komuniti setempat.

Program dinamakan “Strengthening the Disaster Risk Reduction Capacity to Improve the Safety and Security of Communities by Understanding Disaster Risk” (SeDAR) itu diadakan di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, program itu dilaksanakan selepas Kedutaan Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan negara itu akan bekerjasama mengatasi pengurusan bencana.

“Selangor diplih menerajui program SeDAR memandangkan negeri ini maju dan mempunyai unit pengurusan bencana tersendiri.

“SeDAR bertujuan mendidik komuniti memahami cara menghadapi bencana alam bukan setakat banjir kilat, ribut dan tsunami sahaja tetapi pelbagai lagi ilmu dikongsi dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Pelancaran Program SeDAR yang turut dihadiri Wakil Ketua JICA, Kensuke Fukawa dan Pengarah IRIDeS, Tohoku University, Fumiko Imamura.

Loy Sian berkata, program itu dijalankan oleh Unit Pengurusan Bencana Selangor (SDMU) bersama International Research Institute of Disaster Science (IRIDeS) dan Malaysian-Japan International Institute of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

“SDMU akan berkongsi pengalaman dalam pemantauan dan tindakan berkenaan bencana manakala Disaster Preparedness and Prevention Centre (DPPC) di MIJIT membawa pengetahuan ekstensif dan kaji selidik terhadap pengurangan risiko bencana kepada komuniti.

“Mengambil masa empat tahun untuk menyelesaikan program ini, SeDAR merupakan program yang berbeza daripada program komuniti lain kerana ia memfokuskan sains dan bukti berdasarkan sokongan jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Loy Sian berkata, komuniti dari dua daerah di negeri ini dipilih menjadi perintis manakala ketua di setiap kawasan berkenaan itu juga akan bertemu dan berinteraksi dengan Jepun.

“Ia bertujuan melihat bagaimana program itu dilaksanakan di Jepun dan akan diguna pakai di negara kita.

“Program ini adalah pengesahan pengukuhan hubungan antara kedua-dua negara dalam memastikan keselamatan dalam menghadapi bencana alam,” katanya.


Pengarang :