SELANGOR

Selangor terus kukuh kutip hasil hampir RM1 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JUN: Selangor mencatatkan prestasi cemerlang dengan kedudukan kewangan kukuh apabila berjaya mengutip hasil hampir RM1 bilion, berbanding anggaran hasil RM 2.25 bilion untuk 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri berjaya mengutip hasil hampir 45 peratus daripada sasaran dalam tempoh lima bulan pertama, sekali gus meneruskan kecemerlangan 2017.

“Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kita berjaya melepasi sasaran kutipan hasil negeri. Daripada anggaran RM2.55 bilion, berkat kerja kuat penjawat awam dengan kecekapan dan integriti, kita berjaya mencatatkan kutipan RM2.81 bilion atau 110 peratus. Syabas.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada anda semua kerana kita berjaya mengurangkan defisit daripada anggaran RM900 juta kepada hanya RM408 juta.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri tuntas berpegang kepada prinsip belanja secara berhemah dan mengelakkan ketirisan serta kecuaian,” katanya pada Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam bersama Dato’ Menteri Besar Selangor, di Auditorium Dewan Jubli Perak, hari ini.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut berjaya mengurangkan tunggakan hasil negeri pada 2017 sebanyak 13.36 peratus, iaitu RM43.83 juta menjadikan jumlah tunggakan hasil negeri RM284 juta.

Mohamed Azmin berkata, kejayaan itu satu lagi bukti kecekapan pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Saya mengajak anggota perkhidmatan awam untuk terus berdaya maju dan membulatkan tekad berkhidmat dengan tekun dan berintegriti.

“‘Failure is not an option’ dalam melaksanakan tugas kita untuk membangunkan Selangor dan menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.


Pengarang :