SELANGOR

Selesai angkat sumpah, DNS usul tangguh dewan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JUN: Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-14 ditangguhkan sehingga satu tarikh yang ditetapkan selepas selesai sesi mengangkat sumpah jawatan secara rasmi di DNS bertempat di Bangunan Annex, hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan disokong oleh ADN Bandar Baru Klang yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Kim.

Amirudin dalam ucapannya berkata, beliau mengucapkan tahniah dan syabas di atas pelantikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim menjadi Speaker serta ADN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dilantik selaku Timbalan Speaker DNS.

“Mudah-mudahan dengan sempurna urusan mengangkat sumpah ini, kita sudah bersedia untuk memikul amanah, tanggungjawab yang sudah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Dengan berakhinya majlis angkat sumpah pada hari ini, maka secara rasminya seluruh ahli berhormat merupakan ahli dalam dewan istimewa ini,” katanya dalam ucapan penangguhan dewan.

Amirudin berkata, beberapa keistimewaan yang diperolehi setiap ADN harus dipertahankan dengan konsisten dan bersepadu.

“Diharapkan semua ADN belajar dan mendalami fungsi serta tugas supaya kita dapat memartabatkan dewan ini selain mempertahankan integriti selepas dipilih juga diberikan amanah oleh rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai kebanyakan ADN terdiri daripada wajah baru, Amirudin berkata, beliau mengingatkan seluruh ahli dapat melaksanakan tugas dengan baik, amanah dan menjaga kriteria termasuk pakaian, tingkah laku, bahasa serta adab sepanjang persidangan dewan berlangsung.

“Kerana ini merupakan dewan yang mulia jadi kita harus mempertahankannya bersama selaku ahli dewan.

“Dewan ini akan bertindak adil kepada semua termasuk barisan rakan pembangkang kerana semenjak penggal lepas kita sudah memberikan beberapa keistimewaan dan ruangan kepada mereka, kita mahu semua ADN berfungsi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Amirudin yang juga selaku ADN Sungai Tua berkata, beliau yakin bahawa dewan itu akan bertambah hebat kerana terdapatnya lima mantan exco yang pasti mencabar dan mampu memberi saranan yang baik.

“Paling istimewa apabila DNS mencatat sejarah buat pertama kalinya terdapat mantan Menteri Besar yang kini merupakan Menteri Kabinet di Kerajaan Persekutuan, ini merupakan satu pengiktirafan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :