SELANGOR

Semangat Malaysia di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hulu Langat

OLEH HAFIZAN TAIB

KAJANG, 24 JUN: Kehadiran ramai tetamu dari pelbagai bangsa dan peringkat usia di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hulu Langat di sini, hari ini, membuktikan semangat Malaysia kembali bersemarak dalam diri rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, sambutan hebat dengan kehadiran ramai di majlis julung kali dianjurkan pihaknya itu memberikan petanda rakyat menyokong perubahan berlaku dalam pentadbiran negara.

“Kita rasa gembira dengan kehadiran tetamu dari pelbagai bangsa dan lapisan usia pada majlis ini yang melambangkan semangat Malaysia yang kita inginkan.

“Sekarang ini telah wujud apa dikatakan ‘sense of belonging’ dengan orang Melayu, India, Cina dan bangsa lain merasakan di sinilah negara kita,” katanya kepada media ketika ditemui dalam majlis berkenaan.

Majlis berlangsung di Kajang Perdana itu turut disertai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan dan hadirin lain.

Dalam majlis itu juga, Salahuddin melancarkan Tabung Harapan Malaysia peringkat Parlimen Hulu Langat untuk kemudahan masyarakat tempatan menderma bagi membantu memulihkan ekonomi negara.


Pengarang :