SELANGOR

SIRIM sumbang RM30,000 rai anak yatim

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Kumpulan SIRIM Berhad menyumbangkan RM30,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Nur Kasih Selangor bagi meraikan anak yatim dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Sumbangan diserahkan dalam Majlis Iftar SIRIM bagi meraikan 51 anak yatim daripada pertubuhan itu.

Anak yang berusia antara lima hingga 16 tahun itu disambut dan dilayan penuh kemesraan di meja VVIP oleh 300 kakitangan SIRIM.

Dalam majlis sama, SIRIM turut menyumbang RM150 duit raya, baju raya dan kelengkapan sekolah kepada setiap kanak-kanak, sebelum berbuka puasa.

Sumbangan disampaikan Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali bersama Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Syed Hisham Syed Wazir.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, majlis itu sebahagian daripada program yang dianjurkan pihaknya, sepanjang Ramadan.

“Program ini diatur oleh Persatuan Kakitangan Islam SIRIM (PERKIS) bertujuan menambah ilmu serta melipat gandakan amal ibadah.

“Antara aktiviti lain yang dijalankan termasuk agihan bubur lambuk, ceramah perdana setiap hari Jumaat dan Program Tazkirah Ramadan, setiap Isnin hingga Khamis,” katanya dalam Majlis Iftar Kumpulan SIRIM di Dewan Serbaguna SIRIM, baru-baru ini.

Pada masa sama, Ahmad Fadzil berkata, pihaknya juga mengutip dana ‘Donation Drive’ bagi membantu saudara Muslim di bumi Palestin dengan kerjasama Aman Palestine serta ‘Quran Hour’ bagi menguatkan lagi jati diri ke arah transformasi diri seperti dianjurkan dalam SIRIM Cultural Beliefts.


Pengarang :