NASIONAL

SPRM nafi keluar kenyataan isu rasuah PAS Kelantan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 22 JUN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu penyelewengan dan rasuah membabitkan pucuk kepimpinan PAS Kelantan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Azam Baki berkata,pihaknya mendapati ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull dan suruhanjayanya untuk meviralkan isu yang tidak berasas tersebut.

“SPRM melihat tindakan tersebut sebagai perbuatan yang ingin mencemarkan
reputasi kami.

“Saya ingin tegaskan, SPRM komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azam berkata, SPRM juga tidak memihak kepada mana-mana individu sebaliknya orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan berita yang tidak sahih menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM.

Sebelum ini tersebar di media sosial poster Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull disalahguna individu tidak bertanggungjawab dengan menuduh SPRM mendakwa terdapat ‘paus dan bapak tenggiri dalam kerajaan PAS Kelantan’.
Poster itu kemudiannya menjadi viral di laman media sosial termasuk facebook dan juga twitter setelah diviralkan orang ramai.

Pengarang :