NASIONAL

Struktur Jabatan Imigresen & PDRM akan dirombak

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Struktur Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirombak serta disusun semula kerana keadaan dua agensi itu yang disifatkan sebagai ‘berserabut’.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dua agensi itu mempunyai jumlah aduan paling tinggi di bawah kementerian beliau sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai terhadap kerajaan.

Beliau bekata, rombakan itu penting bagi memastikan dua agensi berkenaan dan beberapa agensi lain melaksanakan dasar serta undang-undang negara dengan telus tanpa kompromi.

“Keputusan rombakan mana-mana jawatan pegawai tinggi agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dimuktamadkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam waktu terdekat ini.

“Langkah penyusunan semula pegawai tertinggi di PDRM mungkin membabitkan beberapa agensi lain di bawah KDN dan sudah tentu membabitkan kepemimpinan sedia ada,” katanya memetik laporan BH Online.

Muhyiddin berkata, KDN menerima banyak aduan berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan apabila diteliti masalah itu, struktur berserabut dan perlu dirombak kembali.

Katanya, rombakan itu juga diharap dapat memperbetul dan menyelesaikan beberapa kepincangan yang dikesan dalam agensi berkaitan sebelum ini antaranya berhubung proses pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Berkenaan isu lain, beliau yakin polis akan mengambil langkah sewajarnya untuk menangkap Jho Low, individu dipercayai suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Arahan untuk menangkap Jho Low dan membawa balik beliau sudah lama saya minta PDRM buat. Jadi, tunggulah,” katanya.


Pengarang :