SUKANKINI

Suarez bawa Uruguay ke pusingan kalah mati

OLEH HAFIZAN TAIB

ROSTOV-ON-DON, 21 JUN: Luis Suarez membantu Uruguay mara ke pusingan 16 terakhir dengan mengalahkan Arab Saudi 1 – 0 dalam perlawanan Kumpulan A pada Piala Dunia 2018 di sini.

Gol penyerang Barcelona pada minit ke 23 itu terhasil melalui sepakan sudut dengan mengambil peluang kegagalan penjaga gawang Arab Saudi, Mohammed Al-Owais menangkap kemas bola.

“Jaringan diperoleh untuk kemenangan ini penting dan saya berharap dapat terus mara bersama Uruguay,” kata Suarez yang tampil dalam perlawanan ke 100 untuk Uruguay, dipetik AFP.

Uruguay kini memungut enam mata hasil dua perlawanan dan menduduki tangga kedua kumpulan di belakang tuan rumah, Rusia dengan mata sama namun berbeza jaringan gol.

Arab Saudi yang lebih bersedia dalam perlawanan itu masih gagal memburu kemenangan pertama dalam Piala Dunia disertai sejak 1994.

Kegagalan kedua selepas tewas 0 – 5 kepada Rusia dalam perlawanan pembukaan, menyaksikan Arab Saudi terkeluar daripada kejohanan kali ini.

Kemenangan diraih Uruguay memastikan pasukan itu dan Rusia yang sebelumnya menundukkan Mesir 3 – 1, mara ke pusingan kalah mati.


Pengarang :