SELANGOR

Suee Lim komited pastikan DNS berjalan lancar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JUN: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) yang baharu, Ng Suee Lim komited memastikan persidangan Dewan akan berjalan dengan lancar bermula Julai ini.

Suee Lim berkata, beliau dan Timbalan Speakernya, Mohd Khairuddin Othman akan memastikan DNS akan menjadi bertenaga, dihormati dan sebagai peneraju di seluruh Malaysia.

“Jawatan selaku Speaker kali ini agak serius berbanding dahulu saya memainkan peranan selaku pembahas utama dan sering kali berbahas dengan pihak pembangkang.

“Namun, perkara itu akan diteruskan tetapi mungkin dengan cara yang agak berlainan kerana sekarang saya berada di posisi jawatan yang agak serius,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Angkat Sumpah Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas hari ini.

Mengulas mengenai isu pelantikan selaku Speaker DNS, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata, isu kelayakan dalam bidang perundangan tidak timbul kerana speaker terdiri daripada pelbagai latar belakang.

“Apa yang penting adalah senioriti dan pengalaman bagi memastikan persidangan dewan dapat berjalan dengan lancar, adil serta mempengerusikan sesuatu mesyuarat supaya dihormati semua parti komponen juga Pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin yang juga selaku ADN Paya Jaras turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti kerana memberi kepercayaan buat dirinya dilantik selaku Timbalan Speaker DNS.

“Terima kasih kerana sudah memberi saya dua peluang, pertama untuk saya menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan hari ini selaku Timbalan Speaker DNS tanpa ada sebarang pengundian dalam kalangan Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya.


Pengarang :