AGAMASELANGOR

Sultan Selangor serah sumbangan Aidilfitri RM116,500 pada pelajar asnaf KUIS

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 5 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri bernilai RM116,500 kepada 233 pelajar asnaf Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), semalam.

Sumbangan itu diserahkan baginda dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri bersama Sultan Selangor di Masjid Al-Azhar, KUIS, di sini.

Daripada jumlah keseluruhan pelajar, seramai 60 pelajar fakir, miskin (135) dan saudara baharu (38) memperolehnya dengan setiap seorang menerima RM500.

Program terbabit adalah program tahunan Sultan Selangor pada Ramadan di mana selain berbuka puasa dan pemberian sumbangan Aidilfitri, baginda turut bersama rakyat menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim; Rektor KUIS, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri dan hadirin lain.

=EZY=


Pengarang :