BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor terima zakat perniagaan RM1.85 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 1 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menerima pembayaran zakat perniagaan daripada dua syarikat korporat berjumlah RM1.85 juta.

Mahsa University mendahului senarai pembayaran zakat perniagaan RM1.3 juta yang diserahkan Pengerusi Esekutif Mahsa University, Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah.

Sementara RM550,000 zakat perniagaan pula diserahkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), bagi tempoh berakhir 2017.

Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan itu berlangsung di Masjid Raja Haji Fisabilillah Cyberjaya, petang semalam.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan pimpinan Exco Kerajaan Negeri; Dr Shaharuddin Badaruddin, Amiruddin Shari, Dato’ Abdul Rashid Asari dan Dr Siti Mariah Mahmud.

Dalam perkembangan itu, baginda Sultan turut berkenan menyampaikan bantuan kewangan kepada lebih 400 golongan asnaf, ibu tunggal, saudara baru dan anak yatim sekitar perbandaran Sepang.

Bantuan disalurkan sebagai inisiatif persediaan menyambut bulan Syawal, tidak lama lagi.


Pengarang :