SELANGOR

Sultan Selangor titah solat sunat Aidilfitri diawalkan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris menitahkan semua masjid dan surau, di negeri ini melaksanakan solat sunat Aidilfitri lebih awal serta diselaraskan sama waktu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim melalui surat rasminya berkata, arahan itu dibuat memandangkan umat Islam akan sekali lagi hadir ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Surat itu turut diedarkan kepada Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pegawai tadbir agama Islam daerah, pengurus masjid daerah, pengurus masjid Diraja Selangor, pengurus masjid naik taraf, nazir masjid dan semua pengerusi surau.

Sehubungan itu, katanya, JAIS menyelaraskan waktu solat sunat Aidilfitri bermula jam 8 pagi, pada 15 Jun 2018 bersamaan 1 Syawal 1439H.

“Diharapkan supaya makluman awal ini dapat dipanjangkan kepada seluruh ahli jemaah masjid dan surau masing-masing bagi mengelakkan kesulitan kepada ahli kariah.

“Di kesempatan ini juga, saya berharap semua imam masjid membaca khutbah khas Aidilfitri dan khutbah Jumaat yang diterbitkan Unit Khutbah JAIS yang boleh dimuat turun melalui portal e-masjid.jais.gov.my,” katanya.


Pengarang :