AGAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin terima zakat perniagaan RM1.1 juta

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 9 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mencemar duli menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Jakel Trading Sdn Bhd berjumlah RM1.1 juta.

Jakel Trading Sdn Bhd mewakilkan Pengarah Urusannnya, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel, menunaikan zakat perniagaan bagi tempoh berakhir 2018.

Majlis penyerahan zakat perniagaan itu berlangsung di Masjid Al-Falah, Kota Kemuning, semalam.

Majlis turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya serta barisan Exco Kerajaan Negeri iaitu Dr Shaharuddin Badaruddin, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ir Izham Hashim.

Turut hadir, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbagan Aidilfitri kepada 294 asnaf fakir dan 199 golongan asnaf, sekitar Klang.

Semua penerima menerima bantuan sumbangan zakat bernilai RM500 setiap seorang di bawah peruntukan zakat berjumlah RM246,500.

 


Pengarang :