SELANGOR

Tangani segera masalah kenderaan terbiar, elak pembiakan nyamuk

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 13 JUN: Bimbang dengan bilangan kenderaan buruk yang terbiar semakin meningkat, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mahu kerajaan baharu menyelesaikan masalah itu dengan komprehensif.

Katanya, masalah dihadapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak bertahun lama itu mengundang tempat pembiakan nyamuk, selain mencacatkan mata memandang.

Beliau berkata PBT di seluruh Selangor menghadapi masalah ini bertahun lamanya, sehinggakan depoh penuh sekali gus, tiada lagi tempat untuk meletakkan kenderaan terbiar itu.

“Saya sudah menyatakan pandangan saya dalam hal ini kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

“Saya mahu undang-undang baru dikaji kerana masalah utama adalah tempoh pelupusan kenderaan ini mengambil masa panjang sekurang-kurangnya enam bulan.

“Jadi, ia menyebabkan depoh-depoh ini penuh. Ada yang mengisi kenderaan secara bertingkat-tingkat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Datuk Bandar dan Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan Selangor (PBT).

Pada masa sama, Sze Han berkata, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) menjadi penyumbang tertinggi kenderaan terbiar itu.

“Semua pihak perlu menyedari mengenai isu ini kerana ia membahayakan kepada pengguna, selain menjurus kepada pembiakan nyamuk termasuk Aedes, mengganggu kawasan parkir awam, selain memiliki bahan toksik yang boleh mendatangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Kerajaan Persekutuan era Barisan Nasional sebelum ini berkata, Undang-undang berkaitan pengurusan kenderaan terbiar, termasuk membolehkannya dirampas untuk dilupuskan, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dua jawatankuasa ditubuhkan bagi mengkaji keperluan mewujudkan dasar berkaitan serta bagi menggubal undang-undang khusus menangani masalah kenderaan terbiar.


Pengarang :