SELANGOR

Teladani anak muda Kapar martabat juadah warisan Melayu

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 9 JUN: Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) meneruskan tradisi kacau dodol dalam Pertandingan Kacau Dodol Pemuda PAKATAN peringkat Parlimen Kapar.

Julung kali dianjurkan, proses pembuatan makanan tradisional Melayu itu berlangsung selama lima jam di Kompleks Rakan Muda Kapar, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, usaha anak muda itu wajar dipuji dan diteladani dalam mengangkat semula juadah warisan nenek moyang.

“Amat jarang sekali kita lihat golongan muda berminat untuk melibatkan diri dalam program sebegini namun hari ini saya memuji semangat mereka.

“Kita sedia maklum cara pembuatan dan resepi untuk menyediakan dodol bukanlah semudah disangka, namun ia bukan halangan dipelajari supaya ia tidak ditelan zaman,” katanya.

Terdahulu, Pertandingan Kacau Dodol itu dirasmikan oleh Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani.

Pertandingan bermula jam 10 malam itu berakhir pada 3 pagi dengan disertai 100 peserta membabitkan 20 pasukan terdiri dari penduduk kampung di sekitar Parlimen Kapar.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 beserta hamper dan tempat kedua RM300 beserta hamper.

Sementara, bagi tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang RM150 beserta hamper manakala tempat kelima hingga kesepuluh menerima hamper sebagai saguhati.

Selesai sahaja program, dodol berkenaan serta juadah lemang turut diagihkan kepada kariah setempat untuk juadah bersahur.


Pengarang :