PBTSELANGOR

Terminal bas seksyen 17 dijangka beroperasi Julai

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 17 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan Terminal Bas Seksyen 17, di sini, bakal beroperasi pertengahan Julai ini.

Dato’ Bandar MBSA, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, bagaimanapun pihaknya perlu mendapatkan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada agensi luar seperti bomba dan Indah Water Konsortium (IWK).

“Kerja naik taraf sudah siap sepenuhnya, namun sokongan teknikal daripada agensi luar perlu diperoleh keseluruhannya. Setakat ini, dua agensi lagi belum memberikan komen, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor dan IWK.

“Sejurus CCC siap, kita perlukan tempoh sebulan untuk vendor pasang sistem tiket, iaitu Terminal Management System (TMS), justeru kita jangka paling awal ia beroperasi sekitar pertengahan Julai,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sistem itu akan memberi kemudahan pembelian dan penempahan tiket secara dalam talian yang lebih mudah, menjimatkan masa dan mengurangkan kaunter.

Ahmad Zaharin berkata, Secara tidak langsung, kaedah itu memberi peluang kepada pengguna untuk membeli tiket tanpa gangguan daripada peraih atau ulat tiket.

“Setakat ini, sebanyak 24 syarikat bas dikenal pasti akan beroperasi di terminal itu dan kita masih menerima permohonan dari beberapa syarikat lain,” katanya.


Pengarang :