SELANGOR

Teruskan kecemerlangan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 26 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengadakan pertemuan bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Pejabat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kompleks B, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, semalam.

Beliau yang ditemui SelangorKini selepas pertemuan lebih satu jam itu berkata, perkara yang dibincangkan antaranya mengenai Negeri Selangor terutama soal corak urus tadbir Kerajaan Negeri.

“Beliau (Mohamed Azmin) bertanyakan beberapa perkara seperti kerjasama antara barisan Exco, Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

“Alhamdulillah, kita ingin teruskan apa yang dinikmati dan perolehi sebelum ini selain memperkemaskan beberapa perkara bagi memastikan Negeri Selangor terus cemerlang serta kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

“Kita juga mahu kekalkan kedudukan sebagai peneraju kepada corak pentadbiran yang baik dalam negara kita,” katanya.

Menurutnya, isu pelaburan yang sering menjadi tumpuan di Selangor tidak disentuh secara spesifik dalam pertemuan itu.

“Ada beberapa pelan sudah berjalan dan ada perkara yang saya kurang maklum di peringkat awal ini maka saya bincangkan bersama beliau disamping memohon kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan terutama untuk memastikan segala perbelanjaan Kerajaan Negeri selepas ini benar-benar bermakna kepada rakyat.

“Setiap sen daripada Persekutuan juga akan dimanfaatkan untuk kebaikan dan kemakmuran Negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :