KENYATAAN MEDIA

Tindakan Guaman Ke Atas Blogger Toyol of Selangor

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali telah meminta pihak guaman yang mewakilinya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik blog Toyol of Selangor dan mana-mana paparan yang mengulangi fitnah dalam blog tersebut di media sosial dan portal.

Tindakan undang-undang dibuat susulan fitnah kononnya Dato’ Seri Mohamed Azmin mempunyai sejumlah wang RM300 juta yang disimpan di luar negara.

Susulan itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin telah meminta pasukan guaman
menfailkan permohonan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti identiti pemilik blog tersebut untuk tindakan susulan.

Tindakan undang-undang ini bertujuan menghentikan penyebaran fitnah yang secara sengaja berniat jahat untuk menggugat kewibawaan dan integriti Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dato’ Seri Mohamed Azmin sangat kecewa dengan sikap media yang melaporkan fitnah jahat tersebut daripada sumber yang sama sekali tidak berwibawa justeru terperangkap di dalam gejala ‘gutter politics’.

Mohd Hassanal Bolqiah Bin Mohd Yusoff
Setiausaha Akhbar
Kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi


Pengarang :